Monday, March 2, 2009

Belang Yang Tertewas - Ammarhaq Hafezin@Juliana Mohamed


“PEMBELOT! Bangsat!” Raja Belang mendengus sendiri.

Dia tidak tahu ke mana hilangnya mahkota kesayangannya. Ghaib. Sama ghaibnya dengan pembesar-pembesar negeri yang lain. Raja Belang sudah tidak nampak Orang Kaya Singa. Batang hidung Datuk Penghulu Bintang yang sebesar buah jambu air dibelah dua itupun sudah hilang. Tambah lagilah kroni-kroni yang dulu sentiasa terhangguk-hangguk persis burung kakak tua. Semua sudah tak ada. Hilang!

Raja Belang terpaksa akur dengan realiti hidup. Rambutnya yang makin memutih kusut masai tidak terurus. Berserabut. Seserabut hati Raja Belang. Sinar mata Raja Belang meredup. Pudar kejantanannya. Raja Belang mendengus sendiri lagi. Bingung.

Selama ini Raja Belang memakai hukum rimba. Hitam putih peruntungan warga rimba semuanya bergantung kepadanya. Kalau Raja Belang kata ‘hitam’, hitamlah jawabnya. Sekali Raja Belang katakan ‘merah’, merahlah jawabnya. Tak ada tapi-tapi lagi. Tak payahlah merayu minta putih. Tak ada gunanya menyembah minta biru,hijau atau kuning. Titahnya muktamad. Tak boleh dibangkang. Noktah! Semua bergantung kepada kebaikan hati Raja Belang atau mungkin lebih tepat lagi, selera Raja Belang.

Tika berangkat berjalan mengatur langkah di dalam rimba, kroni-kroninya semua berebut membontotinya. Jalan tempat lalunya dialas rumput lembut macam agar-agar. Penatlah segala warga rimba bekerja siang-malam, dari matahari bangun sampailah matahari tidur semula. Buang dahan kayu atau ranting dan mungkin duri yang boleh koyakkan pakaian Raja Belang. Paling takut, kalau-kalau rambut palsu Ratu Belang tersangkut ranting kayu. Kalau ekor Raja Rimba kotor terkena hanyir-lecak tanah rimba, Datuk Penghulu Bintanglah yang cepat-cepat menjilat. Tak kisah pahit-kelat rasanya. Jijik pun jijiklah. Yang penting, Raja Belang tidak murka, tidak naik angin.

Pengaruh Raja Belang sangat kuat. Macam besi berani. Setiap gerak langkahnya digeruni. Anak-anak warga rimba tunduk menyembah bumi macam orang tua yang sudah bongkok tiga. Takutkan jelingan tajam Raja Belang. Jeling Raja Belang jangan dibuat main. Tajam. Macam belati yang baru diasah. Itu belum lagi aumannya. Dengarkan aum Raja Belang, rakyat jelata yang kerdil berpaling berubah arah kiblat. Bergegar seluruh alam. Macam gempa bumi melanda. Gegar gunung berapi yang nak meletus pun tak dapat tanding. Raja Belanglah Tuhan. Raja Belanglah yang berkuasa. Raja Belang, Raja Belang. Semuanya Raja Belang. Raja Belang tersenyum puas.

Hebatnya Raja Belang. Tapi hebatnya 20 tahun yang lalu. Dulu, sekali Raja Belang berdehem, bertempiaran lari anak-anak Tuan Unggas. Macam lipas kudung. Takut pada Raja Belang. Pak Tikus menyorot masuk ke dalam lubang. Anak-anak Puan Beruk yang sedang menyusu pun boleh terlepas dari rangkulannya. Takut!
Itu dulu. Zaman tika Raja Belang di puncak mahligai. Zaman tika dia masih mampu berdiri megah dengan Ratu Belang yang sentiasa tersenyum bangga, walaupun Ratu Belang yang dikahwininya itu lebih tua daripadanya. Zaman itu sudah pergi. Tulang Raja Belang pun sudah rapuh sekarang. Kalau dilanyak anak gajah yang baru lahirpun tulang Raja Belang pasti patahriuk. Raja Belang duduk diam-diam.

Raja Belang tersentak. Bunyi loceng. Masa untuk beriadah. Juga masa untuk pelawat datang ‘melawat’. Raja Belang bangun bergerak perlahan-lahan. Raja Belang nampak jiran yang tidur di katil depannya dapat pelawat. Anak-anak Pak Kumbang datang. Anak Raja Belang mana ? Raja Belang rasa sunyi. Tanah perkuburan pun tak sesunyi macam yang Raja Belang rasa. Sedih pun ada . Pedih ulu hati Raja Belang macam luka yang diperah limau. Ratu Belang dah lama mati. Tinggal Raja Belang sebatang kara dicampakkan ke rumah warga tua ini. Semuanya salah Raja Belang juga. Raja Belang tersalah memberi kuasa. Kononnya kalau beri kuasa pada Beruang Putih, Raja Belang selamat, tapi tidak. Beruang tetap beruang. Dia dari kaum-keturunan yang berbeza. Beruang berwang! Dia boleh beli segala termasuklah kesetiaan. Terperosoklah Raja Belang ke dalam rumah warga tua yang Raja Belang sendiri bina dulu.

“Daulat Raja Belang!” Raja Belang kembali tersenyum . Senyum sampai ke telinga. Teringat zaman gahnya. Raja Belanglah pemimpin yang paling disegani. Bermula Raja Belang hanya dengan menjadi pegawai kerajaan peringkat bawahan. Sedikit demi sedikit Raja Belang naik. Lepas itu Raja Belang cuba berpolitik pula. Raja Belang tahu. Politik itu kotor. Lebih kotor daripada nanah yang membusut daripada luka yang terbiar dihinggap lalat. Raja Belang tak peduli. Dari kecil lagi Raja Belang bercita-cita hendak memimpin serata buana. Kalau boleh jadi pemimpin orang yang dalam kubur sekalipun. Raja Belang mahu seluruh dunia kenal siapa Raja Belang.

Raja Belang cepat naik. Jaguh berpolitik. Juga jaguh membodek. Dari Menteri itu, Raja Belang melompat ke Menteri ini. Sampailah Raja Belang menjadi Raja segala Menteri. Raja Belang cukup puas. Puas macam orang yang tak makan 10 hari jumpa makanan. Raja Belanglah yang berkuasa dalam segala hal. Seluruh rimba ini Raja Belanglah yang urus-tadbir. Semua gerun dengan Raja Belang. Raja-raja rimba yang berjiran pun tabik dengan Raja Belang.

Raja Belang senyum lagi. Kroni Raja Belang, hidup senang. Kaya-raya. Harta benda melimpah ruah macam empangan pecah dilanda banjir. Kalau nak makan sampai 10 keturunan pun tak habis-habis. Harta benda pula, kalau susun, boleh cecah sampai ke langit ke 7. Raja Belang Islam tapi Raja Belang tidak hidup macam Islam. Halal haram semuanya Raja Belang sapu-bedal. Nahas sesiapa yang cuba lawan cakapnya.Bolehlah rasa makan penyepaknya. Silap-silap berbelak-belak biru dan hitam biji mata seperti buah busuk kena buku limanya. Mufti pun Raja Belang buang kalau banyak sangat cakapnya. Rakyat jelata lagilah. Hanya mampu tengok sahaja Raja Belang bermaharajalela.

Timbalan Raja Belang alim orangnya. Ini timbalan Raja Belang yang ketiga sebenarnya.Yang sebelum ini tak berkekalan. Raja Belang harap biarlah yang ketiga ini yang menggantinya walaupun sebenarnya Raja Belang rasa dia hendak terus pegang jawatannya sehingga dia mati. Raja Belang mahu hidup menongkat langit. Macam kata penyair Indonesia, Chairil Anuar, “Aku ini binatang jalang, ingin hidup seribu tahun...”

Timbalan Raja Belang itu, Raja Belang asuh-didik setelah Raja Belang nampak akan ketokohannya. Berkarisma. Tapi, satu hari rimba Belum dikejutkan dengan satu berita. Gempar. Raja Belang pecat timbalannya. Sok-sek sok-sek riuh seluruh rimba banat. Terkejut besar. Apa salahnya Timbalan Raja Belang ? Kenapa Raja Belang buang dia macam hampas kelapa ? Dah dapat santan hampas dibuang. Rakyat jelata memberontak. Raja Belang tak peduli. Mahkamah Raja Belang yang punya. Akhirnya Timbalan Raja Belang meringkuk di dalam bilik kecil yang dipisah gelangan besi.

Raja Belang puas lagi. Padan dengan muka timbalannya. Orang Kaya Singalah yang khabarkan pada Raja Belang yang timbalannya cuba merampas kuasa. Sudahnya Raja Belang katakan timbalannya itu tidak waras. Seks luar tabii mana mungkin boleh jadi pemimpin rimba Belum yang bertonggakkan agama Islam. Jadilah timbalannya penghuni jerjak besi. Tinggalkan anak isterinya. Paling-paling kurang 20 tahun.

Raja Belang tersentak lagi. Ada suara yang memanggil namanya.

“Raja Belang…”

Raja Belang rasa seperti macam pernah terdengar suara itu. Raja Belang gosok-gosok matanya. Tak percaya. Raja Belang ketuk-ketuk kepalanya. Cubit-cubit pipinya sendiri. Raja Belang pasti dia tidak bermimpi. Timbalannya dulu datang bersama-sama keluarganya.

“Raja Belang, kami sekeluarga datang nak ambil Raja Belang pulang bersama-sama kami.Tempat Raja Belang bukan di sini”

“Betul kata ayah.” Anak timbalannya pula menokok.

Kenyataankah ini ? Raja Belang termangu-mangu. Raja Belang doa kalau-kalau lantai boleh terbelah dua dan telan Raja Belang. Raja Belang malu bukan kepalang. Kulit mukanya yang sudah menggeleber itu tiba-tiba rasa tebal. Tebal macam duit rasuah yang selalu dia cekau dulu. Sedih pun ada juga. Semuanya bercampur baur. Kenapa timbalan Raja Belang begitu murni hatinya? Raja Belang tak faham. Raja Belang siksa dia dulu tapi kenapa sekarang dia tak ada sedikitpun rasa dendam ? Raja Belang pula yang rasa tersiksa sekarang. Siksa dengan perbuatan lampau.

“Sudahlah. Barang yang lepas usah dikenang.” Bini timbalannya pula bersuara.

Raja Belang akhirnya akur bila mengenangkan tiada siapa yang akan menjaga sakit peningnya. Langkah Raja Belang atur perlahan-lahan. Terketar-ketar. Timbalannya memapah Raja Belang. Seluruh rimba banat bersorak-sorai. Warga Belum tersenyum mengejek. Ada yang ketawa terkekek-kekek, terbahak-bahak. Tergolek-golek pun ada. Raja Belang hilang belang . Raja Belang tewas!

* Cerpen ini telah tersiar dalam Tunas Cipta Februari 2009. Anda boleh membaca ulasannya dalam Tunas Cipta Mac 2009.

No comments:

Post a Comment