Monday, February 16, 2009

Intergriti - Satu Persoalan


Dunia amnya telah akur dengan kenyataan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun yang amat disegani. Berupaya mencapai kejayaan besar dalam pelbagai bidang, dan kini sedang gigih berusaha menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri menjelang tahun 2020, Malaysia seharusnya bersedia dalam segala bidang dan perlu menangani masalah dengan memperkukuh dan pempertingkatkan potensi sedia ada.
Transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi, ia juga bersandarkan kepada kemajuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani masyarakat setempat. Antara fokus terpenting untuk mencapai hasrat ini ialah dengan peningkatan dan pemantapan etika dan integriti yang perlu menjadi budaya masyarakat. Hanya dengan inilah barulah kejayaan yang disasarkan dapat dicapai dan dilestarikan.
Justeru itu, apa sebenarnya integriti? Mengapa ia sangat penting dan menjadi tonggak utama dalam membina sebuah Negara berbudaya positif? Integriti, menurut Kamus Dewan Bahasa bermaksud kejujuran dan ketulusan, kesempurnaan, dan keutuhan. Ia juga berkait rapat dengan keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, dan amanah. Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkait rapat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari (PIN, 2004).
Integriti individu pula adalah keselarasan di antara apa yang dikatakan olehnya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri sendiri dengan umum. Selain itu, apa yang dilakukan oleh individu itu pula cepat, tepat dan bermutu. Apabila dia bertindak atau bertingkahlaku demikian secara konsisten dalam pelbagai segi, dia dikatakan mempunyai integriti (PIN, 2004).
Menyedari betapa pentingnya pemantapan integriti dalam pembangunan Malaysia, Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menggubal dasar negara berhubung perkara ini. Tahun 2004 telah mencatat sejarah penting dengan tertubuhnya Institut Integriti Malaysia (IIM) dan pelancaran Pelan Integriti Nasional yang lebih dikenali sebagai PIN. PIN merupakan satu pelan induk untuk menggubal strategi dan memberi hala tuju bagi semua sektor masyarakat supaya mereka dapat bekerjasama dan mengambil bahagian secara langsung dalam usaha memantapkan nilai etika dan integriti.
Oleh kerana PIN mempunyai agenda yang luas, PIN menetapkan lima sasaran utama yang perlu dicapai. Sasaran yang dikenali sebagai Tekad 2008 ini adalah seperti berikut:
pertama, mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan;
kedua, meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam, dan mengatasi karenah birokrasi;
ketiga, meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan;
keempat, memantapkan institusi keluarga; dan
kelima, meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
Penekanan kepada elemen integriti dan pembudayaan secara menyeluruh dan berterusan di kalangan pelbagai sektor masyarakat Malaysia diyakini menjadi penjana utama pencapaian misi nasional. Mengambil integriti sebagai tonggak utama lalu menjadi faktor penentu utama kejayaan pembangunan adalah jelas. Ini adalah kerana, melaksanakan apa juga usaha dan tindakan dengan amanah, jujur, benar, bijaksana, ikhlas, cekap dan berkesan, merupakan pemangkin ke arah daya saing negara yang lestari dan mapan. Pembangunan infrastruktur negara bertaraf dunia, amat jelas perlu disepadukan dengan pembangunan modal insan berintegriti, menjadi agenda keutamaan negara.

CABARAN MELAHIRKAN PEGAWAI BERINTEGRITI TINGGI


Gagasan yang digarap melalui PIN merupakan satu wadah bangsa untuk membaiki sistem dasar dan pelaksanaan, serta memantapkan sikap dan perwatakan peribadi. Justeru itu, ianya perlu dipikul bersama memandangkan ia merupakan suatu wadah membimbing budaya kerja cemerlang dan berintegriti pada terutamanya diri setiap anggota sektor awam, dan swasta di samping menjadi penggerak dan pencetus kecemerlangan diri setiap anggota masyarakat, pelajar, belia, institusi keluarga dan komuniti.
Menurut Mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji (2005:111):

“Tanggungjawab membentuk sikap dan nilai yang sesuai bagi kelakuan yang beretika bergantung terutamanya pada diri seseorang pegawai. Terdapat tiga sifat moral yang boleh ditakrifkan sebagai ‘operations virtues’ yang menyokong sikap beretika, iaitu: (i) mutu optimisme seorang pegawai awam itu bagi menghadapi begitu banyak pilihan tanpa menjadi kaku untuk bertindak, (ii) keberaniannya yang membolehkannya berpegang kepada prinsip bagi mengatasi tekanan daripada kawan, saudara mara dan lain-lain untuk mendapatkan layanan istimewa, dan (iii) sifat keadilan yang membolehkannya bersikap saksama dan meletakkan prinsip di atas keperluan peribadi.”

Dalam melaksanakan hasrat kerajaan untuk melahirkan pegawai perkhidmatan awam yang berintegriti tinggi, pihak kerajaan sering berhadapan dengan pelbagai cabaran di mana ia berkaitan dengan perbuatan tidak beretika pegawai awam. Di antara contoh perbuatan yang dianggap tidak beretika, yang dikemukakan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara itu adalah (Ahmad Sarji, 2005:111):

“(a) rasuah, sogokan, pilih kasih dan menyalahgunakan pengaruh; (b) bertindak secara yang bercanggah dengan kepentingan awam seperti membuat urusniaga atas tujuan kepentingan diri atau melakukan kerja luar semasa memegang jawatan, (c) menyalahgunakan maklumat kerajaan; (d) menyalahgunakan harta kerajaaan; (e) menggunakan tekanan dengan menggunakan kedudukan rasmi atau menjual pengaruh; dan (f) memberi pengecualian dalam menguatkuasakan undang-undang”
Cabaran-cabaran yang dihadapi dalam melahirkan pegawai awam yang berintegriti tinggi telah dikenalpasti dalam empat subtopik utama iaitu dari segi ekonomi, politik, agama, dan sosial/budaya.

i) Ekonomi
Majoriti kakitangan awam berpendapatan rendah jika dibandingkan dengan kakitangan swasta. Biarpun kerajaan telah melaksanakan penyelarasan jadual gaji yang baru pada September 2007, ketidaksamarataan antara pendapatan dua sektor tersebut masih ketara, dan hakikatnya masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang berdaya saing seperti Malaysia. Berdasarkan keperluan ekonomi yang mendesak terutamanya bagi kakitangan awam yang berkerja di kota-kota besar, keperluan sara diri dan keluarga serta kos pengangkutan kadangkala amat membebankan.

Krisis makanan dan harga barangan keperluan yang terus meningkat telah menyebabkan sebilangan kakitangan awam terdesak untuk mencari mata pencarian kedua, dan ada juga yang mengambil jalan ’mudah dan salah’ iaitu dengan mengunakan kuasa dan kedudukan sebagai kakitangan awam untuk melakukan rasuah atau salahlaku yang lain. Ini terbukti dengan Indeks Persepsi Rasuah di mana Malaysia berada di tempat 44 daripada 180 negara pada tahun 2007 (Rujuk Jadual 1, Lampiran A).

ii) Politik
Semua kakitangan awam, dengan sifat berkecuali, adalah tertakluk kepada Kerajaan semasa yang memerintah. Untuk itu, cabaran kepada pengaruh politik sangat kuat dalam polisi dan dasar, juga dalam pelaksanaan yang dilakukan oleh semua kakitangan awam. Seringkali dilihat laporan-laporan akhbar akan campurtangan dalam pelaksanaan jentera Kerajaan oleh ahli politik telah berlaku. Salahguna kuasa oleh mana-mana individu berkepentingan adalah tidak wajar, sekalipun seseorang mempunyai kedudukan tertentu atau mewakili mana-mana kementerian atau jabatan. Hakikatnya, jawatan dalam politik serta sektor kakitangan awam perlulah dilihat sebagai ‘jambatan dan ruang’ untuk menjalankan amanah dan kesejahteran rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama dan apa-apa faktor sekalipun.

iii) Agama
Ketiga, dari konteks penghayatan agama. Pegawai yang mempunyai peribadi yang ’rapuh’ adalah individu yang goyang penghayatan agamanya. Individu seperti ini, hakikatnya adalah golongan berisiko untuk menyandang tugas sebagai kakitangan awam, dan mudah terdedah kepada salahlaku dan salahguna kuasa dalam peluang terbuka. Hakikatnya, agama Islam serta apa-apa agama merupakan satu bimbingan integriti kepada individu, dan agama kekal menjadi benteng rohani dalam semua situasi. Sememangnya memiliki akhlak Islam dalam rangka menghayati ciri Al-Amanah yang diperlukan dalam organisasi bukanlah senang, seperti yang dikatakan oleh Muhammad Uthman El-Muhammady dalam penulisannya (1997:25):
“Cabaran yang besar dan penting dalam era sedemikian ialah cabaran menghidupkan akhlak Islamiyah yang berdasarkan nilai-nilai yang sewajarnya. Ancaman kepada individu dari segi al-quwwah dan al-amanah boleh diringkaskan seperti berikut:
a) Tiada kekuatan aqliyah iaitu tidak kompeten, tiada kelayakan, tiada kemahiran menyebabkan pembaziran, kelewatan. Tiada amanah kepada Allah tanpa sifat-sifat mahmudah seperti keikhlasan, benar, taqwa, ihsan, muraqabah, qana’ah, sabar, dan lain-lain.
b) Tiada kekuatan badan iaitu tidak sihat, badan dan otak yang lembab, tidak bertenaga dan malas. Tiada amanah kepada sesama manusia tanpa sifat-sifat mahmudah seperti kejujuran, ketelusan, berlaku benar, ihsan, sabar, dan lain-lain.
c) Tiada kekuatan ruhani iaitu tiada hubungan ruhiyah dengan Allah, dengan ibadat dalam Islam seperti zikrullah, membaca al-Quran dan mengadakan solat tahajud. Pekat dengan sifat-sifat mazmumah seperti hasad, dengki, pecah amanah, salahguna kuasa dan lain lain lagi.

Dalam membina negara yang maju, ia mestilah ditunjangi dengan masyarakat yang berakhlak mulia, yang dilihat melalui penerapan dan penghayatan nilai-nilai agama.

iv) Sosial & Budaya
Dari segi sosial dan budaya pula, dapat dirangkumkan bahawa cabaran yang dihadapi ialah keperluan untuk memastikan setiap warga kakitangan awam mempunyai sikap nasionalisme untuk membina negara yang utuh dan berdayasaing, semangat jati diri untuk memajukan diri dan menjauhi unsur-unsur negatif, serta kecintaan yang tinggi kepada profesion yang dijawat, yang sekaligus berupaya menzahirkan prestasi kerja yang tinggi serta mengamalkan kepimpinan yang cemerlang yang boleh diteladani dan berupaya untuk membawa perubahan yang positif. Semua ini adalah pra-syarat pembangunan insan yang selaras dengan kehendak persekitaran dalaman dan luaran masa kini dan masa hadapan.

Selain itu, budaya masyarakat yang sentiasa berlumba-lumba untuk mengejar kemewahan adalah musuh utama yang harus ditangani. Cabaran untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap perkhidmatan awam sendiri yang dikatakan ‘lembab’ juga perlu dipandang dengan serius. Sebagai tambahan, mendidik masyarakat untuk mengamalkan budaya berintegriti juga merupakan cabaran sisi lain kepada kerajaan, di mana masyarakat yang berintegriti tidak akan memberi suapan dan menggalakkan salahlaku kakitangan awam berlaku dan berleluasa.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Dengan mengenalpasti cabaran yang dihadapi untuk melahirkan pegawai perkhidmatan awam yang berintegriti tinggi, cadangan penambahbaikan sewajarnya digariskan dan digarap bagi membolehkan peningkatan integriti di kalangan pegawai awam dapat dicapai. Ia boleh dicapai dengan melihat kepada pendekatan empat subtopik utama iaitu ekonomi, politik, agama dan sosial/budaya.

i) Ekonomi
Seluruh kakitangan awam meraikan kenaikan gaji yang telah diumum oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada sesi pembentangan bajet Negara September 2007 yang lalu. Kenaikan gaji ini telah lama dinantikan. Namun, kenaikan gaji ini dilihat masih tidak membantu sepenuhnya dalam usaha untuk memantapkan integriti kakitangan awam keseluruhan. Polis Diraja Malaysia merupakan kakitangan awam yang telah menerima kenaikan gaji tertinggi jika dibandingkan dengan kumpulan kakitangan yang lain. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, 5 negara yang mempunyai Indeks Persepsi Rasuah yang paling rendah adalah merupakan Negara di mana pasukan polis mereka menikmati gaji yang tertinggi. Kajian semula gaji kakitangan awam secara berkala perlu dibuat dan perbandingan perlu dibuat dengan negara-negara yang mempunyai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang rendah.

Seterusnya, kajian semula kepada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diberikan kepada pegawai-pegawai awam yang menunjukkan prestasi yang cemerlang. Terikat kepada kuota 8% daripada jumlah perjawatan yang diisi di sesebuah Jabatan/Kementerian, jumlah ini dilihat sebagai terlalu rendah berbanding dengan jumlah kakitangan yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Penambahan kuota penerima APC ini dilihat dapat memberikan peluang dan merupakan penghargaan kepada pegawai awam yang telah melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

Sebagai tambahan, ketua-ketua jabatan juga boleh mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan Anugerah Pekerja Contoh; yang boleh diadakan secara bulanan. Anugerah ini, walaupun kecil dilihat dapat menaikkan motivasi pekerja untuk memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti. Selain daripada itu, memberikan ganjaran dalam bentuk lain seperti memberikan peluang untuk menghadiri kursus-kursus terpilih di dalam dan luar Negara juga merupakan satu penambahbaikan yang menjamin kepada perkembangan individu sendiri.

Akhir sekali, cadangan penambahbaikan yang boleh dikaji ialah semakan semula gaji siling pekerja awam yang telah berkhidmat lebih 25 tahun. Memandangkan bahawa ramai kakitangan awam telah memberi perkhidmatan yang cemerlang selama selama bertahun-tahun, adalah wajar mereka ini dengan pengalaman yang sangat luas dan lama diberi imbuhan lain bagi perkhidmatan dengan penuh semangat dan tekad, dan mengelakkan stigma ‘bukan naik gaji pun kalau kerja lebih’.

ii) Politik
Adalah penting campurtangan politik ditangani dengan berhemah dan bijak, bagi kesejahteraan sistem organisasi sendiri. Untuk mengelak campurtangan ahli politik, adalah penting Ketua Setiuasaha atau Ketua Jabatan memberikan penjelasan jelas akan polisi dan dasar sesebuah kementerian dan jabatan kepada mana-mana ahli politik dalam dan luar jabatan tersebut, melalui pertemuan jabatan-ahli politik yang diadakan secara berjadual dan sistematik.

Contoh terbaik ialah Retreat Persidangan Meja Bulat Wilayah Persekutuan yang dilakukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan pada 17-18 April 2008, di mana diadakan pertemuan dengan wakil masyarakat dan ahli politik berkaitan, bagi menerangkan hala tuju Kementerian dan hal-hal berbangkit yang boleh diselesaikan melalui meja rundingan. Hala tuju dan ‘wavelength’ yang sama tentu menjamin sistem penyampaian yang penuh integriti tanpa campurtangan dan penyelewengan.

Sememangnya, sistem penyampaian berkesan menunjukan sistem yang berintegriti. Penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) juga merupakan langkah yang baik untuk melahirkan pegawai perkhidmatan awam yang berintegriti tinggi, selain daripada penguatkuasaan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan Kerajaan. Selain itu, kerangka perundangan yang berkesan dan sesuai dengan perkembangan semasa sangat penting. Badan kehakiman yang bebas dan menjamin keadilan dilaksanakan dengan cepat dan tepat tanpa gentar berupaya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

iii) Agama
Penerapan nilai-nilai murni dan penekanan dalam agama memainkan peranan yang penting dalam mana-mana jabatan hari ini. Memulakan majlis dengan bacaan doa, penggalakkan program sampingan berteras agama di pejabat adalah beberapa contoh usaha memberikan suasana intergriti dalam pejabat. Dalam konteks Islam Hadhari sendiri, kerajaan menekankan keperluan sektor awam berintegiti melalui penekanan kepada pembangunan modal insan.

Sebagai tambahan, individu perlu mengenalpasti kelemahan diri masing-masing. Al-Ghazali telah menggariskan terdapat empat fakulti iaitu kehendak, marah, ilmu dan keadilan, yang terdapat dalam jiwa manusia. Setiap fakulti itu akan menjelmakan satu kebaikan jika dilakukan pada tahap sederhana. Ianya boleh diringkaskan seperti Jadual 1 di Lampiran B. Kesederhanaan dalam keempat-empat fakulti tersebut adalah penting memandangkan apabila seseorang individu itu berada jauh dari garisan kesederhaan, lebih buruklah keburukan, dan ini akan melahirkan individu yang berintegriti rendah.

iv) Sosial/Budaya
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam Asean Integrity Dialogue pada 21-22 April 2008, telah mencadangkan System Monitoring After Office Hours. Ini merupakan cadangan yang amat baik memandangkan terdapat kes-kes rasuah kebanyakkannya berlaku selepas waktu pejabat. Berkonsepkan ‘peer monitoring’ ia dijangkakan dapat menyekat aktiviti rasuah memandangkan pegawai awam akan sedar bahawa mereka sentiasa diperhatikan, terutamanya oleh rakan sepejabat. Gaya hidup setiap kakitangan awam juga hendaklah sentiasa sepadan dengan kemampuan pendapatannya yang sah di sisi undang-undang supaya integriti dirinya tidak dipersoalkan oleh masyarakat.

Selain daripada itu, penerapan budaya dan nilai-nilai murni secara berterusan dan bersederhana dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran. Melalui cara ini nilai-nilai murni tersebut akan beransur-ansur dapat dihayati sehingga menjadi sebahagian daripada kebiasaan hidup. Dr. Peter Shephard, dalam Bengkel Dynamics of Emotional Intelligence pada 28 Mei 2008, menyatakan tabiat seseorang individu akan terbentuk selepas 21 hari menjadi rutin. Justeru itu, adalah bertepatan sekiranya nilai-nilai murni ini ditekankan secara berterusan, ia akan menjadi ‘tabiat’ dan budaya yang akan menjadi ikutan. Pemahaman, kesedaran dan pengetahuan individu tentang nilai murni yang dipupuk melalui komunikasi dan pendidikan yang berkesan akan menyumbang kepada melahirkan generasi yang berintegiriti tinggi.

Sebagai tambahan, penglibatan semua lapisan masyarakat perlu dipertingkatkan untuk memberi sumbangan idea-idea baru dalam pembentukan dasar dan sistem penyampaian kerajaan supaya aspek-aspek integriti dari kaca mata masyarakat dapat diberikan perhatian secara langsung. Penggunaan teknologi sebagai menggantikan tenaga manusia juga merupakan cadangan penambahbaikan yang wajar diberikan perhatian serius kerana ianya merupakan budaya kerja lebih sihat, cepat dan cekap serta tidak dipengaruhi oleh keputusan manusia. Pada tahun 2006 keseluruhan 3,397 aduan telah diterima oleh Biro Pengaduan Awam Malaysia mengenai perkhidmatan awam (Rujuk Jadual 1, Lampiran C). Dengan penggunaan teknologi ini, jumlah aduan yang diterima berhubung kelewatan kakitangan awam mengambil tindakan mungkin akan dapat dikurangkan.

Kita perlu menangani masalah ini secara menyeluruh dan menyuburkan semula nilai-nilai murni dalam segala tingkah laku dan tindakan kita. tidak ada gunanya jika masyarakat malaysia kaya dari segi kebendaan, tetapi muflis dari segi nilai moral, etika dan integriti. Kesemua ini membolehkan Malaysia menjadi teratur melahirkan individu terutamanya kaitangan awam yang benitegriti tinggi, dan seterusnya akan mencapai cita-cita menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri, serta membinanya menjadi sebuah negara yang gemilang dan terbilang.
Pemantapan integriti memerlukan perancangan, pelaksanaan, penyelarasan dan pemantauan berkesan. Gerakan oleh semua sektor masyarakat diyakini dapat mengkoordinasi segala tindakan ini secara lebih holistik dan menjurus ke arah pencapaian matlamatnya. Sinergi bersama secara kolektif ini menjadikan pemantapan integriti satu gagasan dan wadah yang sangat penting dan perlu dilakukan dengan sistematik, komitmen yang tinggi dan sepenuh keikhlasan. Hanya dengan kerjasama semua pihak sahaja cabaran melahirkan pegawai perkhidmatan awam yang berintegriti tinggi dapat diatasi, dan seterusnya melahirkan pegawai yang mempunyai integriti kelas pertama.
Memetik titah Raja Nazrin Shah yang diterjemah dari akhbar News Straits Times pada 6 Ogos 2007,
“... Malaysia memerlukan generasi masa hadapan yang mempunyai integriti yang tidak boleh dipersoalkan. Hanya mereka yang berkebolehan, bertanggungjawab dan benar-benar jujur sahaja yang layak untuk menjadi pemimpin. Mereka yang tidak efisyen, tidak kompeten, dan paling utama – korupsi, harus dipinggirkan terus...."

RUJUKAN

Abdullah b. Abdul Rahman, “Administratrative improvement in the Malaysian Civil Service: Implementation of Client’s Charter,” EROPA Seminar on Comparative Public Sector Reform, Canberra, 1994

Ahmad Sarji b. Abdul Hamid, The Civil Service of Malaysia : Towards Vision 2020, Kuala Lumpur, Kerajaan Negara Malaysia, 1994

, “Accountability in the Public Service “ASEAN Review of Public Administrations III (2) , Disember 1991

, Sekadar Berpendapat. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia, 2005

Koleksi Tajuk-Tajuk Ceramah Pengurusan Dari Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2005.

Modul Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam (PIPA). Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 2005.

Muhammad Uthman El-Muhammady, Peranan Ulama Dalam Pembangunan: Cabaran Abad Ke-21, dalam Peranan Ulama Dalam Pembangunan Menjelang Abad Ke-21. Suntingan Aidit Hj Ghazali dan Dzulfawati Hj Hassan. Kuala Lumpur, 1997

Pelan Integriti Nasional, 2004.

Shephard, P, Dynamics of Emotional Intelligence : Kuala Lumpur, 2008

Syed Othman Alhabshi, Integriti Cemerlang Negara Gemilang: Konvensyen Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan, Melaka 2001

http://www.iim.com.my/

http://www.bpr.gov.my/

http://www.kwp.gov.my/

1 comment:

  1. Terima kasih diatas luahan pendapat encik. Ada yang saya ceduk sikit for my research paper (jgn marah ye)

    ReplyDelete